Ya, Cik Joe menelefon kami pada malam tersebut hanya untuk memberitahu bahawa We sudah pergi buat selama-lamanya. Ya Tuhan, 25 Jan 2012 tarikh Wan pergi meninggalkan kami. Tepat 4 bulan 1 hari selepas itu, giliran We pula meninggalkan kami. Ya Allah, berat hati untuk menerima kenyataan bahawa dua orang yang menjadi nenek saya sudah tiada lagi. Malam itu juga kami sekeluarga menziarahi jenazah We. Sesampai di rumah Cik Joe, melihat jenazah We terbujur di tengah rumah, air mata tumpah dengan galak sekali. Hampir terjelepuk di tepi dinding bila melihat jenazah We kaku begitu. Adik perempuan galak menangis. Hampir meraung mungkin. Ya, sudah pasti begitu kerana antara kami tiga beradik, dialah yang paling rapat dengan We. Dialah juga yang mula-mula membuka kain yang menutup jenazah We. Air muka We nampak tenang. Terbayang dia yang menjaga kami, yang rajin membawa kami ke sana sini.
Saat itu terbayang saya ketika hari Wan meninggal dunia. Ya, masih saya ingat sesampai saja di luar rumah dia, saya meraung bila melihat begitu ramai orang di luar rumah. Sebab bukan itu keadaan yang saya mahu lihat. Bila melihat jenazah Wan, memang saya menangis semahu-mahunya sebab saya tak pernah bermimpi mahu pulang melihat jenazah Wan kaku begitu. Ya, walaupun We bukanlah nenek kandung saya, saya tetap merasai kehilangan dia. Seperti kata @ateekaamer, kadang-kadang bukan pangkat/hubungan kekeluargaan yang buat kita tangisi kehilangan seseorang itu, bila kita ada emotional attachment dengan seseorang pasti kita terasa dengan kehilangannya.
Pagi Ahad, jenazah We dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Sempat saya mencium dia untuk kali terakhir. Tenang sungguh wajah We. Dan rupanya We disemadikan di tanah perkuburan yang sama dengan Wan. Malahan jarak kubur Wan dan We tidak lah jauh sangat, hanya sepelaung mungkin. Sesudah selesai pengkebumian We, kami melawat kubur Wan. Dan sekali lagi saya menangis semahunya di kubur Wan. Ya, saya rindu dengan dia. Teramat rindu sekali. Terasa sungguh saya dengan kehilangan Wan.
Ya benar, saya masih lagi ada seorang lagi nenek. Namun, kasih sayang itu tak sama. Saya sayang semua nenek saya, cuma tahap kasih sayang itu berbeza. Keakraban itu tak sama. Dan sekarang sejak Wan tiada, cuma nenek itu sajalah yang menjadi tempat bermanja.
Ya, moga Wan dan We saya tenang di sana.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
